KUALA LUMPUR – Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 yang mengandungi 42 fasal pindaan berkuat kuasa secara rasmi bermula hari ini.
Akta berkenaan yang meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) antara lain melibatkan peruntukan baharu bagi membanteras lumba haram dan kegiatan tonto, selain memperkukuh penguatkuasaan serta pendigitalan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Kementerian Pengangkutan menerusi kenyataan memaklumkan pindaan Akta 333 itu memperkenal Seksyen 42A yang menjadikan perbuatan berlumba atau menguji kelajuan di jalan raya sebagai kesalahan khusus, membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil tanpa perlu menunggu berlakunya kemalangan, kecederaan atau kehilangan nyawa.
Di bawah Seksyen 42A, pesalah sabitan kali pertama berdepan denda RM2,000 hingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun, manakala sabitan berulang membawa denda RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Kementerian memaklumkan akta berkenaan turut memperkenalkan Seksyen 110B bagi menangani kegiatan tonto yang menghalang atau mengganggu operasi penguatkuasaan termasuk mengekori kenderaan penguat kuasa dan menyalurkan maklumat operasi.
Jelas kementerian, pesalah yang disabitkan boleh dikenakan denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara satu hingga lima tahun atau kedua-duanya.
“Kesalahan itu turut dikategorikan sebagai kesalahan boleh ditangkap,” jelas kenyataan tersebut.
Menurut kementerian, pindaan lain ialah memperkukuh akauntabiliti pemunya berdaftar bagi kesalahan yang dikesan melalui kamera penguatkuasaan termasuk sistem penguatkuasaan automatik.
“Pindaan ini bertujuan menutup kelompongan undang-undang yang boleh menyebabkan pihak tertentu mengelak tanggungjawab terhadap kesalahan yang dilakukan menggunakan kenderaan mereka,” jelas kenyataan itu.
Kementerian memaklumkan pindaan itu juga memperkemas asas perundangan bagi dokumen dan notis elektronik, pelaporan kemalangan secara digital, serta kawal selia keselamatan kenderaan elektrik dan mikromobiliti.
Sementara itu, kementerian memaklumkan pelaksaanan peningkatan had maksimum kompaun daripada RM300 kepada RM500 hanya akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2029 bagi memberi tempoh peralihan mencukupi kepada pengguna jalan raya.
MOT menegaskan bahawa kenaikan had kompaun itu bertujuan meningkatkan tahap pematuhan dan kesan pencegahan, bukannya membebankan rakyat atau meningkatkan kutipan hasil kerajaan.
“Kementerian ingin menjelaskan peningkatan had maksimum kompaun itu tidak bermaksud semua kesalahan trafik akan dikenakan kompaun sebanyak RM500 secara automatik. Amaun kompaun yang ditawarkan adalah tertakluk kepada jenis kesalahan serta kaedah yang ditetapkan di bawah Akta 333.
“Langkah itu bertujuan meningkatkan tahap pematuhan undang-undang dan memberikan kesan pencegahan yang lebih berkesan, bukannya untuk membebankan rakyat atau meningkatkan kutipan hasil kerajaan,” jelas kenyataan itu.-MalayaDailyToday






















































