RIYADH: Pihak berkuasa Arab Saudi melanjutkan penutupan Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh sehingga Sabtu ini susulan serangan peluru berpandu dan dron secara berterusan oleh kumpulan Houthi dari Yaman yang mengancam ruang udara ibu negara berkenaan.
Media antarabangsa melaporkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Arab Saudi (GACA) menerusi kenyataan memaklumkan Notis kepada Juruterbang (NOTAM) mengesahkan penggantungan operasi hab penerbangan kedua terbesar negara itu dilanjutkan sehingga pukul 9 malam (waktu tempatan) 17 Oktober bagi melengkapkan penilaian prosedur keselamatan dan kesiapsiagaan operasi.
Keputusan itu menyusul selepas siri serangan udara sejak Sabtu lalu yang mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang dan mencederakan lebih 300 yang lain, menjadikannya insiden paling berdarah di Arab Saudi dalam tempoh lebih satu dekad.
Pada malam Isnin, kumpulan Houthi mendakwa melancarkan serangan peluru berpandu balistik ke arah lapangan terbang berkenaan serta menyasar pangkalan udara di Khamis Mushait menggunakan dron, berikutan kenyataan pihak tentera Saudi yang mengesahkan kejayaan memintas peluru berpandu di ruang udara Riyadh.
Gangguan keselamatan ini memicu pembatalan besar-besaran penerbangan antarabangsa di mana firma analitik Cirium melaporkan kadar pembatalan penerbangan di seluruh lapangan terbang Arab Saudi melonjak kepada 46.4 peratus.
Syarikat penerbangan global termasuk Kumpulan Lufthansa, Air France-KLM, Etihad Airways, dan Delta Air Lines telah menggantung atau menangguhkan laluan penerbangan ke Riyadh, manakala Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) AS dan Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) mengeluarkan amaran berjaga-jaga bagi ruang udara berkenaan.
“Serangan berterusan dengan intensiti tinggi terhadap penerbangan awam pada skala ini tidak pernah disaksikan sebelum ini.
“Keadaan ini memerlukan kita menilai semula gambaran risiko semasa dan bertindak dengan lebih berhati-hati,” kata Pengasas organisasi keselamatan penerbangan OPSGROUP, Mark Zee.
Krisis penerbangan ini turut memberi tekanan teruk kepada ekonomi Arab Saudi yang diunjurkan menguncup 3.6 peratus tahun ini, di samping menjejaskan persediaan persidangan pelaburan utama dan Kongres Tenaga WPC di Riyadh selepas beberapa tokoh korporat antarabangsa dilaporkan menarik diri.-MalayaDailyToday






















































