KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan peningkatan kes jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) dan kes konjunktivitis atau radang mata ketika beberapa kawasan di negara ini dilanda jerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.
Kementerian menerusi kenyataan memaklumkan pemantauan antara minggu epidemiologi (ME) 39 dan 40 mendapati kes URTI meningkat daripada 3,509 kepada 3,875 kes, iaitu peningkatan sebanyak 10.43 peratus.
Jelas kenyataan itu, kes radang mata pula meningkat daripada 102 kepada 129 kes bagi tempoh sama, manakala kes asma menunjukkan penurunan sebanyak 13.64 peratus daripada 535 kepada 462 kes.
Menurutnya, jumlah kes itu berdasarkan pemantauan penyakit berkaitan jerebu yang dijalankan di 78 fasiliti kesihatan terpilih KKM di seluruh negara.
“Kementerian akan terus memperkukuh pemantauan penyakit berkaitan jerebu memandangkan pendedahan kepada udara tercemar boleh menjejaskan kesihatan, khususnya dalam kalangan kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai penyakit paru-paru dan jantung,” jelas kenyataan itu.
KKM turut mengambil maklum situasi jerebu yang berlarutan sejak beberapa minggu kebelakangan ini di negara ini dengan 32 stesen pemantauan kualiti udara mencatatkan bacaan IPU tidak sihat (101 hingga 200) melibatkan lapan negeri dan dua Wilayah Persekutuan setakat 8 pagi tadi.
Sehubungan dengan itu, KKM menasihati orang ramai khususnya mereka yang berada di kawasan dengan bacaan IPU tidak sihat supaya mengambil langkah pencegahan antaranya elakkan atau tangguhkan aktiviti di luar bangunan, terutama bagi golongan lebih mudah terjejas akibat jerebu seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai penyakit paru-paru atau jantung.
Orang ramai turut dinasihatkan menggunakan pelitup muka yang sesuai seperti N95 sekiranya perlu berada di luar dalam keadaan berjerebu dan perlahankan kenderaan atau berhenti di tempat yang selamat sekiranya jarak penglihatan terhad.
KKM turut menasihati orang ramai agar semak bacaan IPU secara berkala melalui saluran rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan ambil langkah pencegahan yang bersesuaian mengikut tahap kualiti udara di kawasan masing-masing.
“KKM menyeru orang ramai supaya sentiasa berwaspada, mengurangkan pendedahan kepada jerebu dan mengutamakan kesihatan diri serta keluarga,” jelas kenyataan itu.-MalayaDailyToday
























































