KUALA LUMPUR – Semua sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor serta seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya ditutup pada 9 Oktober susulan situasi jerebu bertambah buruk.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, penutupan itu turut membabitkan sekolah di daerah Rompin, Pahang.
Menurut beliau, sekolah di negeri dan wilayah lain pula beroperasi mengikut takwim persekolahan.
“Saya telah minta semua Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah untuk terus memantau keadaan jerebu dan mengambil tindakan segera sekiranya keadaan memerlukan.
“Saya juga memahami bahawa sebarang keputusan penutupan sekolah memberi kesan kepada urusan harian ibu bapa.
“Masa yang akan datang, kita akan memastikan sebarang keputusan penutupan sekolah dimaklumkan lebih awal supaya ibu bapa mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persediaan,” katanya dalam satu hantaran yang dimuat naik di media sosial, semalam.
Tambah Fadhlina, keselamatan dan kesihatan murid serta warga sekolah kekal menjadi keutamaan kementeriannya.
Beliau turut menyeru agar ibu bapa terus mengikuti makluman rasmi daripada pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masing-masing.-MalayaDailyToday



















































