KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan keprihatinan terhadap keselamatan dan kesihatan murid serta pelajar sekolah susulan keadaan jerebu yang melanda negara ketika ini.
Berikutan tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) secara berpanjangan mencatatkan bacaan antara 150 hingga 180, Seri Paduka Baginda bertitah menasihatkan supaya sekolah di kawasan-kawasan terjejas ditutup.
Seri Paduka Baginda bertitah, aspek kesihatan dan keselamatan murid serta pelajar perlu diberi keutamaan, selain bertitah Kementerian Pendidikan supaya memberi perhatian serius terhadap perkara berkenaan.
“Langkah sewajarnya perlu diambil oleh kementerian dan agensi yang berkenaan bagi melindungi murid dan pelajar, termasuk warga emas serta pesakit respiratori.
“Sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi menjaga kesihatan serta mengamalkan pemakaian pelitup muka dan mengurangkan sebarang aktiviti luar susulan keadaan jerebu,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office.
Semalam, Johor mengumumkan penutupan sekolah selama dua hari di atas titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, susulan keadaan jerebu serta kemerosotan kualiti udara di seluruh negeri berkenaan.-MalayaDailyToday


















































