KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusof mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkuat kuasa esok bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 diadakan.
Media melaporkan Ab Rauf berkata, pembubaran itu mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam selepas beliau menghadap bagi memaklumkan kedudukan DUN negeri berkenaan serta memohon perkenan pembubarannya.
Menurut Ab Rauf, Yang di-Pertua Negeri Melaka telah berkenaan supaya DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa esok.
“Dengan pembubaran ini, maka berakhirlah penggal DUN Melaka dan proses seterusnya akan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang serta ketetapan pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya.
Ab Rauf berkata, pembubaran yang berkuat kuasa pada 23 September itu dibuat berdasarkan Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua wakil rakyat yang telah melaksanakan tugasan sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan Negeri Melaka.
Ab Rauf juga merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka atas perkenan serta kebijaksanaan dalam melaksanakan fungsi yang diperuntukkan.
Beliau pada masa sama memberi jaminan pembubaran DUN tidak bermakna urusan kerajaan negeri terhenti.
Katanya, kerajaan negeri akan menjalankan tanggungjawab sebagai kerajaan sementara sehingga kerajaan negeri baharu dibentuk selepas pilihan raya.
Jelas beliau, sepanjang tempoh berkenaan, keutamaan kerajaan negeri adalah memastikan pentadbiran negeri kekal teratur, perkhidmatan kepada rakyat tidak terganggu dan kepentingan rakyat terus terpelihara.
“Semua jabatan, agensi kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan akan terus melaksanakan tugas serta tanggungjawab masing-masing dengan profesional berdasarkan undang-undang, peraturan dan tatakelola yang berkuat kuasa,” katanya.
Dengan pembubaran DUN Melaka, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka menetapkan tarikh writ pilihan raya, penamaan calon dan hari pengundian bagi PRN berkenaan.
DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dengan 21 daripadanya dimenangi Barisan Nasional (BN) pada PRN lalu manakala lima dimenangi Pakatan Harapan dan dua Perikatan Nasional (PN).-MalayaDailyToday




























































