KUALA LUMPUR – Kualiti udara di Sarawak menunjukkan perkembangan membimbangkan apabila sembilan kawasan di negeri itu merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 5.30 petang tadi.
Berdasarkan data terkini Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Sibu mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 175, diikuti dengan Sri Aman (173), Sarikei (161), IPD Serian (160), Kuching (159) dan Samarahan (156).
Kawasan lain di Sarawak yang turut merekodkan bacaan IPU tidak sihat terdiri daripada Bintulu (155), Samalaju (153) dan ILP Miri (137).
Sebanyak 51 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana.
Antaranya, Miri dengan bacaan IPU 98, Kapit (97), Limbang (88), Nilai (87), Batu Pahat (85) dan Politeknik Kota Kinabalu (83).
Cheras dan Shah Alam masing-masing mencatatkan bacaan IPU 82, Putrajaya dan Petaling Jaya (81), Johan Setia (80), Kota Kinabalu (79), Sandakan (77), Batu Muda (76), Bukit Rambai dan Larkin (74) serta Pasir Gudang (73).
Sementara itu, empat kawasan melaporkan kualiti pada tahap udara baik iaitu Balik Pulau dan Tanah Merah masing-masing mencatatkan bacaan IPU 48, manakala Kangar (45) dan Langkawi (41).
Bacaan IPU antara sifar sehingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 301 dan ke atas (berbahaya). -MalayaDailyToday





























































