PULAU PINANG – Peletakan jawatan Anthony Loke Siew Fook sebagai Menteri Pengangkutan berhubung keputusan pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada Pulau Pinang, khususnya membabitkan kelulusan projek infrastruktur bernilai RM21 bilion.
Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata Anthony telah memperjuangkan pelbagai projek utama pengangkutan di negeri berkenaan termasuk Transit Aliran Ringan (LRT) bernilai RM16.8 bilion, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) RM1.55 bilion, serta penambahbaikan pelabuhan dan stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM).
“Dengan projek pengangkutan bernilai RM21 bilion yang telah mendapat kelulusan di Pulau Pinang, Anthony merupakan antara Menteri Pengangkutan paling berkesan yang melakukan paling banyak untuk negeri itu berbanding barisan Menteri Pengangkutan daripada MCA sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Guan Eng menegaskan bahawa tindakan Setiausaha Agung DAP itu melepaskan jawatan menteri menunjukkan pendirian tegas parti berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta bantahan secara sopan terhadap pelepasan tahanan di rumah yang diberikan kepada Najib.
Langkah berkenaan diputuskan susulan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang memutuskan hanya Anthony melepaskan jawatan Kabinet, manakala menteri dan timbalan menteri DAP lain kekal berada dalam Kerajaan Perpaduan demi menjamin kestabilan pentadbiran negara. -MalayaDailyToday


























































