KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu telah mengarahkan peguamnya menghantar Notis Tuntutan terhadap seorang pemilik akaun media sosial dan beberapa individu lain susulan hantaran yang didakwa berbaur fitnah berhubung isu pembekalan baja di Kedah.
Mohamad menegaskan bahawa kebebasan menyuarakan pandangan di platform media sosial tidak memberi hak kepada mana-mana pihak untuk melemparkan tuduhan tanpa bukti atau membuat sangkaan jahat.
“Nak bersuara, tak ada masalah. Tapi kalau dah sampai menuduh tanpa bukti, buat sangkaan jahat, itu dah cerita lain,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.
Tindakan undang-undang itu diambil susulan hantaran berhubung isu Baja 3 di Kedah yang mengaitkan beliau dan kementeriannya dengan dakwaan penyelewengan dana awam.
Mohamad menambah bahawa setiap pengguna media sosial perlu bertanggungjawab terhadap sebarang kenyataan yang dikeluarkan dan tidak melampaui batas undang-undang.
Dalam pada itu, menerusi satu kenyataan media berasingan, Mohamad menegaskan bahawa KPKM tidak akan berkompromi dalam aspek integriti, tata kelola dan pengurusan kewangan di semua agensi serta anak syarikat di bawah kementeriannya.
“Pengurusan agensi dan anak syarikat perlu memastikan setiap keputusan, perolehan serta penggunaan dana awam dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. Amanah rakyat mesti dijaga dan setiap ringgit wang awam perlu diurus dengan sebaik-baiknya,” katanya. -MalayaDailyToday




























































