KUALA LUMPUR – Meskipun telah lama bersara daripada jawatan Ketua Polis Negara, semangat Tan Sri Musa Hassan untuk terus berbakti kepada negara dan memperjuangkan keselamatan serta kesejahteraan rakyat masih terus berkobar.
Pengerusi Pertubuhan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCCC) Pahang, Daniel Khoo berkata, persaraan tidak pernah memadamkan keprihatinan Musa terhadap isu keselamatan negara, pencegahan jenayah dan ketenteraman masyarakat.
Menurutnya, pengalaman luas Musa sepanjang puluhan tahun dalam bidang kepolisan dan penguatkuasaan, termasuk ketika menerajui Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Ketua Polis Negara, merupakan aset yang amat bernilai dan masih relevan untuk dimanfaatkan demi kepentingan rakyat dan negara.
“Walaupun Tan Sri Musa telah bersara sebagai Ketua Polis Negara, semangat beliau untuk membantu masyarakat dan mengambil berat tentang keselamatan rakyat masih terus berkobar.
“Beliau sentiasa dihormati dan dihubungi oleh masyarakat untuk mendapatkan khidmat nasihat dalam isu-isu jenayah dan keselamatan Negara. Hubungannya yang mesra sangat dihargai dan disenangi oleh masyarakat.
“Kempimpinannya dalam MCCC dapat membantu pihak polis dari segi penyaluran maklumat tentang jenayah yang perolehi dari masyarakat dan dapat merapatkan hubungan diantara polis dan masyarakat.
“Bagi beliau, persaraan hanyalah melepaskan jawatan rasmi, bukannya melepaskan tanggungjawab dan rasa cinta terhadap negara. Seragam boleh ditanggalkan dan jawatan boleh dilepaskan, tetapi semangat untuk menjaga keselamatan negara dan rakyat tetap terpahat di hati,” katanya. -MalayaDailyToday



























































