KUALA LUMPUR – Hasil lawatan kerja ke India bersempena Sidang Kemuncak BRICS dijangka bakal diterjemahkan secara langsung kepada kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat menerusi pelaburan baharu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia bukan sahaja menyatakan pendirian tegas di pentas antarabangsa berkenaan, malah mengambil kesempatan mengukuhkan ekonomi negara dengan menarik minat pelabur asing meneroka ruang kerjasama baharu.
“Alhamdulillah, Malaysia telah membawa suara dan pendirian yang tegas di pentas BRICS di India, di samping terus berusaha membina kekuatan ekonomi dengan menarik minat pelabur untuk meneroka ruang kerjasama baharu di Malaysia,” katanya menerusi hantaran di laman media sosial rasminya hari ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menambah bahawa komitmen yang digalang sepanjang lawatan berkenaan akan memberi impak positif kepada pembangunan negara.
“Insya-Allah, hasil lawatan ke India akan diterjemahkan kepada kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.
Penyertaan Malaysia dalam perhimpunan pemimpin-pemimpin blok ekonomi pesat membangun itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasakan hubungan diplomatik dan perdagangan dua hala antara Malaysia dan India. -MalayaDailyToday





























































