KUALA LUMPUR – Lorong kiri Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Kilometer (KM) 263.6 ditutup sebagai langkah berjaga-jaga susulan kejadian tanah runtuh semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin menerusi kenyataan memaklumkan penutupan itu dilaksanakan dengan pemasangan kon keselamatan dari KM262.8 hingga KM263.8 arah selatan, membabitkan jarak kira-kira satu kilometer.
“Buat masa ini, aliran trafik bertentangan belum diaktifkan dan pergerakan trafik masih dipantau dari semasa ke semasa bergantung kepada keadaan di lokasi.
“Polis bersama pihak PLUS dan agensi berkaitan akan terus menjalankan pemantauan bagi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya,” jelasnya.
Menurut beliau, kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan Vista Point turut difokuskan ke lokasi kejadian.
Katanya, langkah itu bagi membolehkan pemantauan berterusan terhadap keadaan kawasan tanah runtuh dan pergerakan trafik di laluan berkenaan.
Oleh itu, pengguna lebuh raya supaya memandu dengan berhati-hati ketika melalui kawasan berkenaan.
“Pengguna juga diminta mematuhi arahan petugas dan papan tanda keselamatan serta mengurangkan kelajuan semasa memandu kawasan itu,” katanya.
Semalam, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan kejadian tanah runtuh di KM263.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dari Terowong Menora ke Ipoh.
Menurut LLM, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.28 petang menyebabkan kesesakan trafik sejauh 15km di laluan terjejas. -MalayaDailyToday


































































