KUALA LUMPUR – Kerajaan terbuka untuk mempertimbangkan hukuman lebih berat terhadap penjenayah penipuan dalam talian, termasuk sebatan, namun tanggungjawab institusi kewangan yang menerima wang hasil penipuan juga perlu diberi perhatian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tindakan membanteras kegiatan penipuan dalam talian tidak seharusnya hanya tertumpu kepada penjenayah, sebaliknya sistem perbankan yang menjadi saluran transaksi turut perlu diperkasakan.
“Saya nampak kalau boleh, saya setuju lebih daripada sebat sebab scammer ini cepat melakukan penipuan.
“Saya sudah sebut banyak kali di Parlimen dan di luar Parlimen bahawa salah satu strategi ialah bank yang menerima duit hasil penipuan ini mesti turut mempunyai tanggungjawab,” katanya ketika ditemui pemberita pada Konvensyen Pendanaan Politik 2026, di sini, hari ini.
Azalina berkata, bank tidak seharusnya melepaskan tanggungjawab hanya kerana transaksi penipuan berlaku melalui akaun yang dibuka di institusi berkenaan.
Menurutnya, mekanisme yang lebih ketat perlu diwujudkan supaya wang mangsa tidak begitu mudah dipindahkan kepada akaun sindiket dan akhirnya sukar untuk diperoleh semula.
Beliau berkata, walaupun Bank Negara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melaksanakan pelbagai usaha kesedaran awam, jumlah rakyat yang masih menjadi mangsa menunjukkan pendekatan sedia ada belum mencukupi.
“Bank Negara sudah buat pelbagai hebahan khidmat awam, PDRM juga banyak memaklumkan, tetapi nampak macam rakyat masih lagi tertipu dan terikat.
“Sebab itu saya rasa kita kena kaji sama ada hukuman yang lebih berat dapat mengurangkan jenayah ini atau lebih kepada apabila duit melalui bank, bank pun kena sama-sama bertanggungjawab,” ujarnya.
Azalina berkata, mangsa lazimnya berdepan kesukaran mendapatkan semula wang selepas ia dipindahkan ke akaun yang digunakan sindiket penipuan.
“Bila bank pun kena sama-sama bertanggungjawab, mungkin sistem akan diwujudkan dengan lebih ketat.
“Kalau tidak, duit itu hilang dan rakyat dalam beberapa minit sudah kehilangan wang. Nak dapat balik, bank tidak akan pulangkan balik sebab transaksi itu melalui akaun mereka,” jelasnya.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail mencadangkan kerajaan meminda undang-undang yang dianggap lapuk serta mengenakan hukuman lebih berat, termasuk sebatan terhadap penjenayah penipuan dalam talian.
Cadangan itu dibuat susulan kebimbangan terhadap kegiatan penipuan dalam talian yang terus menyasarkan orang ramai dan menyebabkan kerugian besar kepada mangsa. -MalayaDailyToday

































































