KUALA LUMPUR – Kebarangkalian debu gunung berapi Anak Krakatau di Indonesia untuk memasuki ruang udara Malaysia ketika ini kekal rendah berdasarkan analisis arah dan kelajuan angin semasa.
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, sebaran abu vulkanik daripada letusan berkenaan masih tertumpu di sekitar Selat Sunda dan kawasan berdekatan di Indonesia.
Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa sebarang perubahan arah dan kelajuan angin serta kemungkinan timbulnya letusan susulan berupaya mempengaruhi pergerakan debu tersebut ke Malaysia pada bila-bila masa.
“METMalaysia akan terus memantau keadaan ini menggunakan data satelit dan analisis keadaan atmosfera,” kata Mohd Hisham.
Beliau menambah bahawa maklumat berterusan daripada Pusat Nasihat Debu Gunung Berapi (VAAC) global membolehkan sebarang potensi ancaman debu disalurkan secara pantas kepada pihak berkuasa dan awam.
Sekiranya debu berkenaan menjejaskan ruang udara negara, impak utamanya melibatkan gangguan operasi penerbangan awam dan kendalian lapangan terbang yang mana amaran khas akan dikeluarkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Mohd Hisham turut mengesahkan bahawa jarak ketampakan rendah yang dialami di Sarawak dan bahagian barat Semenanjung ketika ini berpunca daripada fenomena jerebu rentas sempadan, dan bukannya disebabkan oleh letusan Anak Krakatau. -MalayaDailyToday

































































