KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh membidas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Munim berhubung isu perbelanjaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang didakwa melebihi peruntukan yang diluluskan.
Dr Akmal menegaskan bahawa mana-mana kementerian tidak boleh berbelanja secara sewenang-wenangnya kerana setiap projek pembangunan perlu mendapat kelulusan Kementerian Kewangan (MOF) terlebih dahulu sebelum dilaksanakan.
Beliau menjelaskan bahawa MOF meneliti setiap cadangan pembangunan mengikut kemampuan kewangan kerajaan, dan sekiranya berlaku perbelanjaan melebihi peruntukan asal, perkara itu juga memerlukan kelulusan pra-syarat daripada MOF.
“Jika ada perbelanjaan yang melebihi jumlah yang diperuntukkan sekalipun, ia mesti dan telah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan terlebih dahulu,” katanya dalam satu kenyataan menerusi hantaran di media sosialnya hari ini.
Dr Akmal turut menambah bahawa trend perbelanjaan melebihi peruntukan asal bukan hanya berlaku di KKDW tetapi juga di kementerian lain, termasuk Kementerian Pendidikan yang dibelanjakan RM59.871 bilion berbanding peruntukan asal RM58.726 bilion pada tahun 2024.
Beliau menegaskan isu utama yang dibangkitkan oleh Timbalan Perdana Menteri bukan perbelanjaan tanpa kawalan, sebaliknya melibatkan peruntukan yang belum disalurkan kepada KKDW meskipun projek berkenaan telah diluluskan oleh MOF.
Sehubungan itu, Dr Akmal menyelar Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan kerana didakwa gagal memahami tatacara kewangan asas kerajaan.
“Kalau level ceplos yang tak faham asas kewangan negara, kita boleh terima. Tetapi ini Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri pun tak faham, memang makin kuatlah rakyat nak jadikan PMX kepada XPM,” katanya.
Bidasan tersebut dibuat susulan kenyataan Kamil di Facebook semalam yang menyifatkan tindakan kementerian berbelanja melebihi peruntukan sebagai perkara yang boleh menjejaskan kedudukan kewangan negara.
Kenyataan Kamil itu tampil berikutan penjelasan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican, mengenai komitmen dan perbelanjaan tahunan KKDW bagi projek jalan luar bandar yang melebihi peruntukan diluluskan bagi tempoh 2023 hingga 2026.
Johan memaklumkan bahawa MOF kini sedang bekerjasama rapat dengan KKDW untuk menyusun semula peruntukan kementerian mengikut keutamaan bagi menangani isu berkenaan. -MalayaDailyToday
































































