KOTA TINGGI – Jambatan Sungai Johor di sini disahkan selamat untuk digunakan oleh semua pengguna jalan raya susulan insiden sebuah kapal yang hanyut berdekatan struktur berkenaan petang tadi, kata Senai-Desaru Expressway Berhad (SDEB).
SDEB dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pasukan teknikalnya telah menjalankan pemeriksaan dan penilaian segera ke atas struktur jambatan sebaik sahaja insiden berlaku pada jam 2.30 petang.
“Hasil pemeriksaan mendapati struktur jambatan berada dalam keadaan selamat dan boleh dilalui seperti biasa. Kapal yang terlibat juga telah berjaya dialihkan pada jam 3.16 petang,” kata pemegang konsesi lebuh raya itu hari ini.
SDEB menegaskan bahawa pihak syarikat sentiasa memprioritaskan aspek keselamatan dan akan terus memantau keadaan struktur jambatan berkenaan dari semasa ke semasa.
Pihak pengendali lebuh raya turut menasihati pengguna agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas serta mengikut sebarang arahan keselamatan yang dikeluarkan.
Kenyataan rasmi itu dikeluarkan bagi menepis beberapa hantaran gambar dan video tular di media sosial yang mendakwa jambatan berkenaan rosak, tidak selamat dilalui, dan telah ditutup sementara sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna lebuh raya. -MalayaDailyToday
































































