SIBU – Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing, menegaskan partinya tidak mahu sekadar menjadi “penonton” dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), sebaliknya mahu memainkan peranan lebih signifikan selaras dengan kekuatan parti itu ketika ini.
Beliau berkata, PDP mahu setiap keputusan dalam gabungan berkenaan dibuat berdasarkan semangat konsensus, perkongsian kuasa dan saling menghormati antara parti komponen.
“Kita tidak mahu hanya menjadi penonton dalam gabungan ini. Kita mahu menjadi penentu. Kita mahu memastikan setiap keputusan mencerminkan realiti kekuatan semasa berasaskan semangat consensus, power sharing and mutual respect,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tiga Tahun Sekali (TGA) PDP 2026 di Sibu.
Tiong yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, PDP bagaimanapun kekal teguh bersama kepimpinan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg demi memastikan kestabilan politik dan kemakmuran negeri terus diperkukuh.
Menurutnya, kestabilan politik menjadi asas penting kepada pembangunan Sarawak dan PDP akan terus memainkan peranan dalam memastikan agenda itu dapat diteruskan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan PDP tidak akan berkompromi dalam soal maruah parti dan kepentingan kawasan yang diwakilinya.
“Kita juga tidak akan membenarkan mana-mana pihak luar mencampuri urusan dalaman PDP. Ini bukan soal konflik. Ini soal prinsip, maruah dan keadilan,” katanya.
Tiong turut mengingatkan bahawa semua kerusi yang dimenangi PDP ketika ini perlu dipertahankan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang kerana wakil rakyat parti itu telah bekerja keras untuk rakyat.
Beliau berkata, kekuatan PDP kini semakin berkembang dengan jumlah keahlian melebihi 250,000 orang di seluruh negara selepas melalui pelbagai fasa transformasi sejak ditubuhkan pada 2002.
Katanya, penjenamaan semula PDP pada 2017 turut membuka ruang kepada rakyat Sarawak di Semenanjung untuk bersama perjuangan parti termasuk menerusi penubuhan bahagian protem di Selangor dan Johor.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada bekas Presiden Wong Soon Koh dan pasukannya yang menyertai PDP pada 2024, sekali gus memperkukuh lagi kekuatan parti itu.
“Unity is our strength, but unity must come with justice,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh ahli parti supaya terus bersatu dan bekerja keras bagi memastikan kemenangan PDP pada PRN akan datang. -MalayaDailyToday





























































