KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tiada sebarang kes Ebola dikesan di Malaysia setakat ini susulan kebimbangan penularan wabak itu di beberapa negara Afrika.
KKM dalam kenyataan memaklumkan pihaknya kini mempertingkat pemantauan serta langkah kesiapsiagaan kesihatan awam bagi memastikan risiko penularan penyakit berjangkit itu dapat dibendung lebih awal.
Menurut kementerian itu, pemantauan rapi turut dilakukan di semua pintu masuk antarabangsa negara termasuk lapangan terbang bagi mengesan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan terjejas.
“KKM ingin menegaskan bahawa tiada kes Ebola dilaporkan di Malaysia ketika ini. Orang ramai dinasihatkan supaya kekal tenang dan mendapatkan maklumat sahih daripada sumber rasmi,” menurut kenyataan itu hari ini.
KKM berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan agensi antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam memantau perkembangan semasa wabak Ebola yang dilaporkan berlaku di Republik Demokratik Congo (DRC) dan Uganda.
Dalam masa sama, rakyat Malaysia yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara terjejas diminta segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan sekiranya mengalami gejala seperti demam, sakit kepala, muntah, cirit-birit atau pendarahan luar biasa.
KKM turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan langkah kebersihan diri dan mematuhi nasihat kesihatan yang dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
Ebola merupakan penyakit berjangkit serius yang merebak melalui kontak langsung dengan darah atau cecair badan individu dijangkiti dan boleh membawa maut jika tidak dirawat segera.
Sebelum ini, WHO dilaporkan memantau rapat peningkatan kes Ebola di beberapa negara Afrika susulan kebimbangan risiko penularan rentas sempadan. -MalayaDailyToday






























































