CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mempertingkat pemantauan dan kawalan di pintu masuk antarabangsa negara susulan kebimbangan penularan hantavirus, meskipun sehingga 10 Mei lalu tiada kes membabitkan rakyat tempatan direkodkan di Malaysia.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kementerian kekal berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi menerusi pemantauan global serta pemeriksaan ketat di semua pintu masuk negara.
Menurut beliau, pendekatan proaktif amat penting bagi memastikan Malaysia tidak berdepan risiko penularan wabak itu.
“Tiada negara yang benar-benar selamat jika kita tidak mengambil langkah persediaan awal dan terus berwaspada,” katanya.
Dzulkefly berkata, setakat ini enam kes disahkan melalui ujian makmal dilaporkan di luar negara, namun kes terbabit dikaitkan dengan kapal asing dan tidak melibatkan penduduk tempatan.
Beliau berkata, antara fokus utama KKM ketika ini ialah sektor maritim dengan pemeriksaan kesihatan diperketat terhadap semua kapal dan bot yang memasuki perairan negara, khususnya dari kawasan berisiko tinggi.
“Pemeriksaan kesihatan ke atas kapal yang memasuki negara amat penting bagi memastikan tiada risiko penularan penyakit berjangkit,” katanya.
Sehingga penghujung Mei, sebanyak 22,367 kapal dan bot telah diperiksa di pintu masuk negara bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian kesihatan dan sanitasi antarabangsa.
Daripada jumlah itu, KKM turut mengeluarkan 2,421 sijil pratique serta 1,146 sijil sanitasi kapal selepas pemeriksaan dilakukan.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan memastikan setiap vesel yang memasuki negara mematuhi syarat kesihatan awam antarabangsa.
Dalam pada itu, Dzulkefly memaklumkan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mempunyai kemampuan menjalankan ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) bagi mengesan hantavirus.
Katanya, hantavirus merupakan penyakit bawaan tikus dan boleh merebak melalui pendedahan kepada air kencing, najis atau air liur haiwan pembawa virus itu.
“Virus ini boleh menyebabkan komplikasi serius termasuk sindrom gangguan pernafasan akut serta demam berdarah yang menjejaskan fungsi buah pinggang,” katanya.
Menurut beliau, gejala awal jangkitan termasuk demam, sakit otot, muntah, batuk dan kesukaran bernafas sebelum menjadi lebih serius jika tidak dirawat segera.
Sehubungan itu, KKM akan mempergiat kempen kesedaran awam bagi meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai aspek kebersihan serta kepentingan mendapatkan rawatan awal sekiranya mengalami simptom berkaitan.
“Kita tidak mahu menimbulkan panik, namun masyarakat juga tidak boleh menganggap penyakit ini hanya berlaku di luar negara. Sistem kesihatan negara perlu sentiasa bersedia dan responsif,” katanya. -MalayaDailyToday

























































