KUALA LUMPUR – Kira-kira 80,000 pesakit dijangka mendapat manfaat daripada inisiatif Ubat Melalui Pos (UMP) iaitu penghantaran percuma bekalan ubat-ubatan bagi tempoh setahun kepada individu yang layak.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi kenyataan memaklumkan inisiatif UMP yang akan berkuatkuasa mulai 1 Oktober ini melibatkan anggaran kos penghantaran sebanyak RM5 juta yang ditanggung sepenuhnya.
Jelas kenyataan itu, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad melancarkan pembiayaan inisiatif UMP iaitu kerjasama strategik antara Kementerian Komunikasi melalui MCMC dengan Kementerian Kesihatan bagi memudahkan pesakit mendapatkan bekalan ubat-ubatan susulan secara percuma.
“Inisiatif ini diperkenalkan bagi menggalakkan lebih ramai pesakit memanfaatkan perkhidmatan kesihatan digital, di samping memudahkan akses kepada bekalan ubat-ubatan tanpa perlu hadir ke fasiliti kesihatan,” jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, MCMC akan menyelaras pelaksanaan inisiatif itu selaras dengan peranannya sebagai badan kawal selia sektor pos negara, manakala Kementerian Kesihatan pula akan kekal bertanggungjawab terhadap pengurusan kelayakan pesakit dan penyediaan bekalan ubat-ubatan.
Jelas MCMC, urusan penghantaran akan dilaksanakan oleh Pos Malaysia Berhad.
“Pelaksanaan ini merupakan susulan pengumuman oleh Menteri Komunikasi semasa pelancaran Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA) pada 15 Jun lalu, sekali gus membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memperluas manfaat perkhidmatan kesihatan kepada rakyat,” jelas kenyataan itu.- MalayaDailyToday




























































