KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 berkuat kuasa hari ini.
Menurut Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun dalam satu kenyataan, pemakluman itu diterima daripada Speaker DUN Melaka, Datuk Ibrahim Durum melalui surat bertarikh 22 September.
Beliau berkata, pembubaran DUN Melaka ke-15 adalah sebagaimana termaktub di Bawah Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka.
“Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, berkehendakkan suatu pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN tersebut,” jelas kenyataan itu.
Sehubungan itu, beliau berkata, SPR akan mengadakan satu mesyuarat khas untuk membincangkan tarikh-tarikh penting bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Bagaimanapun, katanya, tarikh mesyuarat khas tersebut akan dimaklumkan kemudian.
Semalam, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusof mengumumkan pembubaran DUN Melaka berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada PRN ke-16 diadakan.
Jelasnya, pembubaran itu mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam selepas beliau menghadap bagi memaklumkan kedudukan DUN negeri berkenaan serta memohon perkenan pembubarannya.
Menurut Ab Rauf, Yang di-Pertua Negeri Melaka telah berkenaan supaya DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa hari ini. -MalayaDailyToday





























































