KUALA LUMPUR – Sebanyak 902 klinik kesihatan di seluruh negara akan diperkasakan dengan saringan penyakit paru-paru berbantukan kecerdasan buatan (AI) menjelang akhir tahun ini.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman Instagramnya.
Menurut Dzulkefly, ia merupakan sebahagian usaha kerajaan dalam merancakkan pelaksanaan Inisiatif Kesihatan Paru-Paru 2025-2030 di peringkat domestik.
“Langkah ini akan turut disokong oleh pangkalan data NALURY dan pelaksanaan tegas Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) khususnya bagi melindungi generasi muda,” katanya.
Terdahulu, Dzulkefly merasmikan Mesyuarat Saintifik Tahunan 2026 bagi NIHR Global Health Research Unit on Respiratory Health (RESPIRE) yang menghimpunkan lebih 100 delegasi antarabangsa di ibu negara semalam.
Katanya, langkah memperkukuh kesihatan paru-paru dilihat amat penting memandangkan penyakit pernafasan kini menyumbang kepada satu daripada lima kematian di peringkat global.
“Menyedari realiti ini, Malaysia terus mengambil peranan proaktif dengan memperjuangkan resolusi kesihatan paru-paru bersepadu pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) ke-78, serta mengangkatnya sebagai agenda utama serantau sewaktu Mesyuarat Menteri Kesihatan ASEAN ke-17 (AHMM) baru-baru ini,” katanya.
Tambah beliau, segala usaha dan inovasi dalam bidang terbabit memerlukan sokongan data dan pembuktian saintifik yang kukuh.
“Sehubungan itu, saya memuji sumbangan sedekad pihak RESPIRE dalam memacu penyelidikan kesihatan awam.
“Saya juga menyeru agar komuniti penyelidik terus bekerjasama rapat dengan penggubal dasar bagi menterjemahkan penemuan saintifik kepada amalan klinikal yang berkesan,” katanya.
Jelas beliau, Malaysia kekal komited terhadap dasar kesihatan yang berpandangan jauh, dipacu bukti dan berpaksikan penyelesaian.
Dzulkefly turut merakamkan penghargaan kepada Universiti Malaya, University of Edinburgh, United Kingdom (UK) dan seluruh warga RESPIRE atas dedikasi berterusan dalam mendepani cabaran kesihatan pernafasan global. -MalayaDailyToday



























































