KUALA LUMPUR – Perbelanjaan subsidi kerajaan pada tahun 2025 menurun 40.1 peratus kepada RM23.43 bilion daripada RM39.10 bilion yang dilaporkan pada 2024.
Ia susulan penurunan harga minyak mentah dunia dan pelaksanaan inisiatif penyasaran semula subsidi diesel serta petrol.
Bernama melaporkan berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2/2026 mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2025, penurunan sebanyak RM15.67 bilion itu antaranya disumbangkan oleh pengurangan ketara perbelanjaan subsidi produk petroleum sebanyak RM15.79 bilion kepada RM19.11 bilion daripada RM34.91 bilion pada 2024.
“Pengurangan perbelanjaan subsidi antaranya disebabkan oleh penurunan harga minyak mentah dunia dan inisiatif penyasaran semula subsidi diesel bermula bulan Jun 2024 serta subsidi petrol pada bulan September 2025,” jelas laporan itu.
Laporan berkenaan memaklumkan harga purata minyak mentah dunia turun kepada US$69.053 setong pada 2025 daripada US$80.818 setong pada 2024.
Perbelanjaan subsidi petrol berkurangan 46.5 peratus kepada RM10.51 bilion daripada RM19.66 bilion manakala subsidi diesel turun 48.2 peratus kepada RM5.98 bilion daripada RM11.54 bilion.
Subsidi gas petroleum cecair (LPG) pula berkurangan 29.1 peratus kepada RM2.63 bilion daripada RM3.71 bilion.
Dalam pada itu, perbelanjaan bagi pemberian kebajikan dan bantuan kepada masyarakat, individu serta keluarga meningkat 380.8 peratus kepada RM20.36 bilion pada 2025 daripada RM4.24 bilion pada 2024.
“Peningkatan perbelanjaan ini antaranya disebabkan oleh penyaluran Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Program Bantuan Subsidi MADANI (BUDI MADANI) dan Kos Operasi STR,” jelas laporan itu.-MalayaDailyToday






















































