SEREMBAN – Pembatalan pelantikan 10 ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan telah diwartakan pada hari ini.
Warta bertarikh 24 September menyatakan, pelantikan ahli-ahli MMK tersebut dibatalkan berkuat kuasa pada 20 September oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengikut Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Ahli MMK tersebut ialah Datuk Mohd Faizal Ramli (Exco Kemajuan Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah); Datuk Zaifulbahri Idris (Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal Insan); Datuk Mustapha Nagoor (Exco Pembangunan Belia dan Sukan); Siow Kong Choon (Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Hal Ehwal Bukan Islam); Siti Nur Umaira Hasim (Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).
Selain itu, Datuk Mohd Asna Amin (Exco Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital); Datuk Mohd Razi Mohd Ali (Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup); Suhaimizan Bizar (Exco Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO); Mohd Fairuz Mohd Isa (Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan) dan Datuk Razali Abu Samah (Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan).
Menurut warta itu, kesemua mereka telah mengangkat serta menandatangani sumpah dan ikrar taat setia di hadapan Tuanku Muhriz pada 7 Ogos lepas sebelum mengambil tempat sebagai Ahli MMK Negeri Sembilan.
“Dan bahawasanya memandangkan kalian telah melanggar ikrar taat setia tersebut maka, beta dengan ini menarik balik perkenan beta dan membatalkan pelantikan kalian sebagai Ahli MMK Negeri Sembilan,” titah baginda dalam warta berkenaan.
Warta itu juga memaklumkan berdasarkan Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang ahli MMK selain daripada Menteri Besar memegang jawatannya selama diperkenan oleh Tuanku Muhriz.
Warta itu diterbitkan sebagai tambahan kepada Perundangan, Jilid 79, No. 39.
Pada 20 September lalu, pihak Istana Negeri Sembilan mengumumkan bahawa Tuanku Muhriz telah membatalkan pelantikan semua ahli MMK berkenaan, berkuat kuasa serta-merta.-MalayaDailyToday.
























































