KUALA LUMPUR – Pasport Malaysia mencatat pencapaian membanggakan apabila menduduki tempat kedua dalam senarai The Passport Index Global bagi tahun ini.
Penarafan pasport itu menunjukkan peningkatan satu anak tangga berbanding kedudukan ketiga yang dicatatkan pada 2025.
Jabatan Imigresen dalam satu kenyataan memaklumkan pemegang pasport Malaysia kini mempunyai akses ke sebanyak 175 destinasi di seluruh dunia.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 129 destinasi menawarkan kemasukan tanpa visa manakala 46 destinasi menyediakan kemudahan visa semasa ketibaan.
“Sebanyak 23 destinasi pula memerlukan visa,” jelas jabatan itu.
Tambah Jabatan Imigresen, pencapaian berkenaan mencerminkan kekuatan dan penerimaan pasport Malaysia pada peringkat antarabangsa.
Berdasarkan semakan di Passport Index, Malaysia berkongsi kedudukan kedua dengan Singapura dalam Global Passport Power Rank 2026, masing-masing dengan skor mobiliti 175.-MalayaDailyToday




























































