KUANTAN – Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Pahang merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Mulia Tengku Dato’ Suleiman bin Yang Mulia Tengku Dato’ Haji Abd Rahman, Penyelia Polo Club Pahang, dan Yang Mulia Tengku Dato’ Akashah bin Tengku Haji Hussain atas pengurniaan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP).
Pengerusi MCCC Pahang, Daniel Khoo, berkata pengurniaan itu merupakan satu pengiktirafan terhadap jasa, komitmen dan sumbangan kedua-dua tokoh, khususnya dalam perkembangan sukan polo di Pahang.
Katanya, penglibatan Tengku Dato’ Suleiman dalam Polo Club Pahang selama lebih tiga dekad mencerminkan komitmen berterusan beliau terhadap sukan berkenaan, termasuk usaha memastikan polo terus berkembang dan mempunyai tempat dalam kalangan generasi baharu.
“Bagi pihak MCCC Pahang, kami mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Mulia Tengku Dato’ Suleiman dan Yang Mulia Tengku Dato’ Akashah atas pengurniaan DIMP.
“Lebih tiga dekad dalam dunia polo bukan satu tempoh yang singkat. Ia mencerminkan komitmen, kesetiaan dan sumbangan Tengku Dato’ Suleiman dalam memastikan sukan ini terus berkembang di Pahang,” ujarnya.

Daniel berkata, Tengku Dato’ Akashah yang juga merupakan bekas pemain polo Pahang mempunyai pengalaman luas dalam sukan berkenaan serta pernah menjadi sebahagian daripada perkembangan polo di negeri itu.
Ujarnya, pengalaman dan sumbangan tokoh seperti Tengku Dato’ Akashah penting dalam memastikan pengetahuan serta semangat terhadap sukan polo dapat terus diwariskan kepada generasi seterusnya.
Dalam pada itu, minat terhadap sukan polo turut diteruskan oleh generasi seterusnya dalam keluarga Tengku Dato’ Suleiman apabila dua anaknya, Tengku Ahmad Shazril Ezzani dan Tengku Ahmad Khairul Hasnan Shah, turut aktif dalam sukan berkenaan.
Tengku Ahmad Shazril Ezzani merupakan pemain polo negara dan pernah mewakili Malaysia dalam Sukan SEA, termasuk membantu pasukan negara meraih pingat emas dalam acara polo 4 hingga 6 gol pada Sukan SEA 2025.
Manakala adiknya, Tengku Ahmad Khairul Hasnan Shah, turut aktif menyertai pertandingan polo, meneruskan minat dan tradisi keluarga dalam sukan tersebut.
Jelasnya, kesinambungan itu menunjukkan bagaimana pengalaman dan kecintaan terhadap sukan boleh diwariskan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.
“Peranan individu yang mempunyai pengalaman luas dalam sukan polo amat penting bagi memastikan pengetahuan, tradisi dan semangat kesukanan ini terus diteruskan kepada generasi baharu.
“Kita berharap generasi muda khususnya di Pahang dapat mengambil inspirasi daripada tokoh yang telah lama terlibat dalam sukan ini,” katanya.
Menurut Daniel, MCCC Pahang turut melihat penglibatan dalam sukan sebagai antara platform penting dalam membentuk golongan muda yang mempunyai disiplin, semangat berpasukan dan jati diri.
“Polo bukan sahaja mengenai pertandingan, tetapi turut mengajar disiplin, ketahanan, keberanian dan kerjasama.
“Semoga lebih ramai anak muda mendapat peluang untuk mengenali dan menceburi sukan ini, seterusnya meneruskan legasi polo di Pahang,” jelasnya. -MalayaDailyToday
























































