KUALA LUMPUR – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan terbaharu ke atas kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki oleh lebih seribu pendatang haram Israel dan pegawai kanan rejim yang diketuai oleh Menteri Keselamatan Negara Israel di bawah perlindungan tentera rejim pada 28 Sept lalu.
Kementerian Luar menerusi kenyataan menegaskan tindakan pencerobohan berulang kali itu merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa serta status quo sejarah dan undang-undang yang mentadbir Baitulmuqaddis Timur dan Al-Haram Al-Sharif.
“Tindakan-tindakan ini bukan sekadar provokasi terpencil, sebaliknya merupakan sebahagian daripada usaha berterusan rejim zionis Israel untuk mengubah identiti dan ciri-ciri Masjid Al-Aqsa serta Baitulmuqaddis Timur yang diduduki.
“Malaysia menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha-usaha sedemikian dan menegaskan bahawa kesucian Al-Haram Al-Sharif serta hak beragama para jemaah Islam hendaklah dihormati dan dipelihara,” jelas kenyataan itu.
Malaysia juga menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya mengambil tindakan segera dan konkrit bagi memaksa rejim zionis Israel menghentikan serta-merta pelanggaran serius yang disengajakan.
“Rejim zionis Israel hendaklah dipertanggungjawabkan atas usaha berterusannya untuk menjejaskan status quo sejarah dan undang-undang di Al-Haram Al-Sharif,” jelas kenyataan itu.
Malaysia turut menegaskan solidariti yang tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin serta hak mereka untuk menentukan nasib sendiri serta mengulangi pendirian konsisten bagi penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya.-MalayaDailyToday


























































