SHAH ALAM – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) perlu dikenakan tindakan tegas susulan kelulusan perbelanjaan RM2.1 bilion melebihi peruntukan bagi tempoh 2023 hingga 2025.
Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menegaskan bahawa tindakan itu penting bagi mengelakkan kementerian lain mengulangi perkara sama yang boleh menjejaskan tatakelola kewangan serta khazanah negara.
Berdasarkan maklumat Kementerian Kewangan, KKDW membelanjakan RM1.8 bilion pada 2023 berbanding peruntukan RM1.1 bilion, RM2 bilion pada 2024 berbanding peruntukan RM1.3 bilion, dan RM2.3 bilion bagi 2025 berbanding peruntukan asal RM1.6 bilion.
“Penjelasan penuh perlu diberikan kepada rakyat Malaysia kerana perbelanjaan berlebihan tanpa usul periksa ini melibatkan jumlah yang sangat besar iaitu RM2.1 bilion,” kata Guan Eng.
Bekas Menteri Kewangan itu turut membangkitkan isu pengeluaran surat sokongan oleh kementerian selain Kementerian Kewangan, yang menurutnya telah diharamkan kerana boleh dianggap sebagai surat jaminan kerajaan tersembunyi.
Beliau mempersoalkan proses penganugerahan kontrak KKDW serta penerima manfaat di sebalik perbelanjaan berlebihan tersebut yang disifatkan berisiko menjejaskan disiplin bajet negara. -MalayaDailyToday
































































