KUALA LUMPUR – Kementerian dan agensi penguatkuasaan berkaitan diminta meneliti serta menyiasat mengenai ucapan yang menjadikan paderi Katolik dan biarawati sebagai bahan jenaka ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, siasatan sewajarnya perlu dijalankan sekiranya terdapat unsur pelanggaran undang-undang.
Katanya, perkara itu perlu disiasat di Bawah Seksyen 298 dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan (Akta 574) serta peruntukan berkaitan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
“Saya mengambil maklum kesediaan individu terbabit untuk memohon maaf.
“Saya berharap perkara ini menjadi pengajaran kepada semua pemimpin, penceramah dan masyarakat supaya lebih berhati-hati dalam memilih kata-kata, khususnya apabila menyentuh perkara berkaitan agama dan kepercayaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Media melaporkan Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said mencetuskan kontroversi apabila menceritakan jenaka yang menggunakan watak seorang paderi dan biarawati serta penggunaan surah Mazmur dalam Bible ketika berucap dalam PAU 2026.
Semalam, Noorazli menerusi kenyataan memaklumkan beliau bersedia memohon maaf sekiranya ucapannya ketika PAU 2026 menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak termasuk penganut agama Kristian.
Menurut Noorazli, kisah dikongsikan ketika membahaskan ucapannya digunakan semata-mata sebagai analogi untuk mengambil pengajaran mengenai kepentingan fokus, ketekunan dan kebijaksanaan dalam mencapai sesuatu matlamat.
Sebelum itu, beberapa pihak mendesak Noorazli meminta maaf kerana jenaka dalam ucapannya menyinggung perasaan.
Mengulas lanjut, Aaron menegaskan pihaknya memandang serius kontroversi ucapan menjadikan paderi Katolik dan biarawati sebagai bahan jenaka semasa PAU 2026.
“Walau apa sekalipun niat di sebalik sesuatu analogi, jenaka yang menyentuh institusi keagamaan, agamawan, kitab suci atau kepercayaan mana-mana penganut tidak sepatutnya berlaku dan tidak boleh dianggap sebagai perkara remeh.
“Terdapat batas yang perlu dihormati dalam sebuah negara yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai agama, budaya dan kepercayaan,” katanya.
Aaron berkata, perkara itu juga selaras dengan prinsip kelima Rukun Negara, Kesopanan dan Kesusilaan yang menuntut setiap rakyat menjaga adab, tutur kata dan tingkah laku dalam kehidupan bermasyarakat.
“Dalam negara berbilang agama dan budaya, prinsip ini bukan sekadar ungkapan, tetapi asas penting untuk memastikan perbezaan dihormati, sensitiviti dipelihara dan keharmonian terus dipertahankan,” katanya.
Tambah beliau, agama bukan bahan jenaka malah perkara yang mempunyai nilai suci dan dihormati oleh sesuatu komuniti tidak wajar dipersenda, dijadikan bahan gurauan berunsur seksual atau digunakan semata-mata untuk mendapatkan gelak tawa dan tepukan.
“Perbuatan sedemikian boleh menyinggung perasaan penganut agama dan menjejaskan keharmonian yang kita bina bersama selama ini.
“Kebebasan untuk berucap, berpolitik atau berjenaka tidak pernah bermaksud kita bebas melanggar sensitiviti agama dan kepercayaan orang lain.
“Prinsip ini mesti terpakai kepada semua pihak tanpa mengira agama, kaum, kedudukan mahupun fahaman politik,” katanya. -MalayaDailyToday




























































