KUALA LUMPUR – Filem kerjasama Malaysia-Indonesia, The Fox king dipilih mewakili Malaysia pada Anugerah Akademi ke-99 yang dijadualkan berlangsung di Dolby Theatre, Hollywood, Amerika Syarikat (AS) pada 14 Mac tahun depan.
Perkara itu diumumkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut FINAS, filem The Fox King dipilih sebagai penyertaan rasmi Malaysia untuk dipertimbangkan bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa di anugerah berkenaan.
Katanya, pemilihan filem arahan Woo Ming Jin itu dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Filem FINAS dengan mengambil kira syarat kelayakan yang ditetapkan oleh Academy of Motion Picture Arts and Sciences (AMPAS).
Jelas kenyataan itu, Kementerian Komunikasi dan FINAS merakamkan tahniah kepada Woo Ming Jin serta seluruh barisan pelakon dan tenaga produksi filem berkenaan.
Filem The Fox King mengangkat kisah zaman kanak-kanak, alam remaja, keluarga, cinta pertama dan cabaran membesar menerusi kisah adik-beradik kembar, Ali lakonan Idan Aedan dan Amir (Hadi Putra) yang berkongsi hubungan telepati.
Filem itu menampilkan Idan Aedan, Hadi Putra dan Dian Sastrowardoyo sebagai pelakon utama.
Filem berkenaan turut menerima sokongan Dana Kandungan Kreatif (DKK) di bawah Kementerian Komunikasi melalui FINAS.
The Fox King membuat tayangan perdana menerusi program Centrepiece Festival Filem Antarabangsa Toronto 2025 pada 9 September 2025.
Filem itu kemudian ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa antaranya Busan International Film Festival, Jakarta Film Week, Taipei Golden Horse Film Festival, Singapore International Film Festival, Beijing International Film Festival, Far East Film Festival di Udine dan San Francisco International Film Festival.
The Fox King mula ditayangkan di pawagam Malaysia pada 17 September lalu. -MalayaDailyToday



























































