KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Felda Investment Corporation Sdn. Bhd. (FIC) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memperdaya Lembaga Pengarah FIC berhubung pelantikan syarikat untuk projek dan harga pasaran 24 lot tanah 12 tahun lalu.
Media melaporkan Mohd. Zaid Abdul Jalil, 55, membuat pengakuan itu serta meminta dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Zaid didakwa memperdaya Lembaga Pengarah FIC untuk mempercayai bahawa syarikat Synergy Promenade Sdn. Bhd. layak dilantik sebagai Project Delivery Partner-Master Developer bagi projek ‘The Proposed Commercial Development On Felda Lots In Jalan Semarak, Kuala Lumpur’, sedangkan beliau mengetahui syarikat itu hanya layak dilantik sebagai Project Delivery Partner-Master Planner.
Perdayaan itu menyebabkan Lembaga Pengarah FIC meluluskan pelantikan syarikat berkenaan sebagai Project Delivery Partner-Master Developer bagi projek terbabit.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd Zaid didakwa memperdaya Lembaga Pengarah FIC untuk mempercayai bahawa penilaian harga pasaran 24 lot tanah milik Felda yang dilaporkan Firdaus & Associates Property Professionals Sdn Bhd adalah berjumlah RM330.96 juta, sedangkan beliau mengetahui jumlah sebenar dilaporkan ialah RM691.7 juta.
Mohd. Zaid didakwa memperdaya Lembaga Pengarah FIC untuk mempercayai bahawa penilaian indikatif (indicative valuation) Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) terhadap 24 lot tanah terbabit bernilai RM180 juta, sedangkan beliau mengetahui JPPH tidak pernah memberikan penilaian indikatif berkenaan kepada FIC.
Tindakan itu mendorong Lembaga Pengarah sama menerima tawaran daripada Synergy Promenade Sdn. Bhd. berhubung cadangan Minimum Guaranteed Return bernilai RM500 juta atau 10 peratus daripada Gross Development Value, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat Lembaga, Menara Felda, Platinum Park di sini, masing-masing pada 16 Januari dan 29 April 2014.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 29 Oktober ini bagi sebutan semula kes. -MalayaDailyToday




























































