CHENNAI – Bintang mega filem Tamil, Joseph Vijay Chandrasekhar atau lebih dikenali sebagai ‘Thalapathy’ Vijay mula menggegarkan arena politik India apabila parti baharunya, Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK), dilaporkan mendahului beberapa kerusi penting dalam keputusan awal pilihan raya negeri Tamil Nadu.
Perkembangan itu mencetuskan fenomena luar biasa apabila ribuan penyokong Vijay berhimpun di pusat pengiraan undi sambil melaungkan slogan sokongan terhadap pelakon terkenal tersebut.
TVK yang baru ditubuhkan berjaya memberi saingan sengit kepada dua gergasi politik Tamil Nadu iaitu Dravida Munnetra Kazhagam (DMK) dan All India Anna Dravida Munnetra Kazhagam (AIADMK), sekali gus dianggap antara kejutan terbesar dalam politik India Selatan tahun ini.
Kemunculan Vijay dalam politik sejak tahun lalu sememangnya mendapat perhatian luar biasa susulan pengaruh besar beliau dalam industri perfileman Tamil yang mempunyai jutaan peminat di seluruh dunia termasuk Malaysia, Singapura dan Sri Lanka.
Pelakon berusia 51 tahun itu sebelum ini mengumumkan mahu meninggalkan dunia lakonan secara berperingkat demi memberi fokus penuh kepada perjuangan politik dan masa depan rakyat Tamil Nadu.
Pemerhati politik melihat kebangkitan TVK sebagai gelombang baharu anak muda yang mahukan perubahan selepas puluhan tahun politik Tamil Nadu didominasi parti lama.
Malah media India menyifatkan sokongan terhadap Vijay bukan lagi sekadar fenomena peminat filem, tetapi sudah berubah menjadi gerakan politik besar yang mampu menggugat dominasi tradisional di negeri berkenaan.
Di media sosial, nama Vijay dan TVK turut menjadi antara topik paling trending dengan rata-rata penyokong menyifatkan keputusan awal itu sebagai “permulaan era baharu politik Tamil Nadu”.
Vijay sebelum ini membawa slogan politik berteraskan integriti, kebajikan rakyat dan pentadbiran bersih selain sering tampil lantang menyentuh isu kos sara hidup, peluang pekerjaan dan pendidikan golongan muda.
Keputusan rasmi penuh pilihan raya itu dijangka diumumkan lewat malam ini. -MalayaDailyToday


























































