KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, menegaskan bahawa pengalaman pelancong bermula sebaik sahaja mereka menjejakkan kaki di lapangan terbang, sekali gus menjadikan aspek harga, perkhidmatan dan kemudahan sebagai penentu utama imej negara.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kempen ShopLAH di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) hari ini, yang menurutnya bukan sekadar kempen membeli-belah, sebaliknya mencerminkan wajah sebenar Malaysia kepada pelawat.
“Apabila pelancong merasakan harga makanan dan barangan di lapangan terbang terlalu mahal, persepsi itu akan terus melekat. Ini sesuatu yang kita tidak boleh ambil ringan,” katanya.
Tiong berkata, beliau sendiri mendengar keluhan pelancong dan rakyat tempatan berhubung isu harga, pilihan makanan yang terhad, kos sewaan yang tinggi serta kekangan operasi di lapangan terbang.

“Lapangan terbang bukan hanya ruang komersial, tetapi pintu masuk utama negara yang mencerminkan nilai dan keprihatinan kita sebagai sebuah negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya telah meminta semua pihak berkaitan, termasuk pengurusan lapangan terbang dan pengusaha outlet, untuk duduk berbincang bagi mencari penyelesaian bersama.
“Kita perlu pendekatan berasaskan volum, harga yang lebih munasabah dan pengalaman yang lebih mesra pengguna,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, Tiong menegaskan keperluan Malaysia bersedia dari segi kapasiti, kemudahan serta sambungan penerbangan, selaras dengan peningkatan minat syarikat penerbangan antarabangsa untuk beroperasi di negara ini.
“Malaysia mesti bersedia menyambut peluang ini dengan lebih teratur dan efisien supaya kita tidak ketinggalan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan komitmennya untuk memastikan isu di lapangan tidak sekadar dibangkitkan dalam ucapan, tetapi diterjemahkan kepada tindakan melalui kerjasama semua pihak termasuk Ministry of Tourism, Arts and Culture Malaysia (MOTAC).

“Ini demi pelancong, demi rakyat, dan demi imej Malaysia di mata dunia. Imej negara dibina melalui pengalaman sebenar yang dirasai oleh setiap pengunjung,” katanya. -MalayaDailyToday




























































