PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak menggunakan dana syarikat swasta untuk lawatan rasminya ke empat negara, dengan kos keseluruhan penerbangan berjumlah RM1.6 juta.
Menurut beliau, lawatan itu menggunakan perkhidmatan Malaysia Airlines (MAS) sepenuhnya, dengan baki tempat duduk pesawat ditawarkan kepada syarikat swasta yang sudah merancang perjalanan ke negara-negara berkenaan bagi tujuan pelaburan dan usaha sama. Syarikat-syarikat tersebut membayar kos mereka sendiri, yang berjumlah RM4.5 juta.
“Jika menggunakan jet eksekutif milik kerajaan, kos penuh yang perlu ditanggung kerajaan adalah RM2.5 juta. Namun, melalui perkongsian ini, kos untuk kerajaan hanya RM1.6 juta,” jelas Anwar menerusi kenyataan di media sosialnya hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa tiada konflik kepentingan berlaku dalam pengaturan tersebut dan menyeru rakyat supaya tidak terpengaruh dengan fitnah.
“Kerajaan tidak menggunakan dana syarikat swasta. Usah terperangkap dalam fitnah zaman edan,” katanya. -MalayaDailyToday