October 18, 2024
#BERITA

Mohon kerajaan isytihar cuti tambahan sempena Deepavali – MIC

KUALA LUMPUR – Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah memohon kerajaan mengisytiharkan 1 November ini sebagai cuti umum tambahan kepada rakyat Malaysia menikmati tempoh sambutan Deepavali yang lebih panjang bagi yang hendak pulang ke kampung selain memudahkan amalan kunjung mengunjung.

Beliau berkata cuti tambahan itu bukan sahaja bermanfaat kepada komuniti India dan memberikan kemudahan kepada mereka yang meraikannya tetapi juga memberi peluang kepada semua rakyat Malaysia untuk turut serta dan menghormati kepelbagaian budaya di negara ini.

“Deepavali adalah perayaan yang penting bagi komuniti Hindu di Malaysia, sambutan ini juga adalah masa untuk keluarga , renungan diri serta perpaduan masyarakat.

“Dengan mengisytiharkan cuti tambahan pada 1 November, kerajaan akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia berkumpul dan meraikannya bersama dalam suasana aman serta harmoni,” katanya dalam kenyataan.

Murugiah turut merayu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Persekutuan mempertimbangkan permintaan berkenaan demi kepentingan perpaduan nasional dan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya negara. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *