September 3, 2024
#UTAMA

Trump stabil, mohon rakyat AS bersatu

Washington – Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berada dalam keadaan stabil selepas menjadi mangsa tembakan semasa kempen pilihan raya Presiden AS di Butler, Pennsylvania semalam.

Agensi melaporkan serangan yang menyebabkan seorang penyokong maut dan dua yang lain cedera parah disiasat sebagai cubaan membunuh. 

Penembak yang disyaki cuba membunuh Trump maut selepas ditembak anggota Perkhidmatan Rahsia. 

Suspek dikatakan melancarkan serangan dari kedudukan di tingkat tinggi di luar tempat perhimpunan berkenaan. 

Biro Penyiasatan Persekutuan dan Perkhidmatan Rahsia kini sedang menyiasat kejadian itu.

Untuk makluman, serangan berlaku ketika Trump memulakan ucapannya di pentas tersebut, sebelum bunyi tembakan kedengaran semasa acara kempen yang terletak kira-kira 48 kilometer dari Pittsburg. 

Trump berkata, peluru itu menusuk bahagian atas telinga kanannya, sebelum ejen keselamatan membawanya keluar dari lokasi itu.

Presiden AS, Joe Biden mengutuk sekeras-kerasnya serangan itu dan keganasan politik yang berlaku. 

Serangan maut itu turut dikecam oleh pemimpin seluruh dunia termasuk Perdana Menteri Britain, Keir Starmer yang menegaskan segala bentuk keganasan politik tidak mempunyai tempat dalam masyarakat. 

Selain itu, Jurucakap Setiausaha Agung, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres mengutuk tindakan ganas itu yang mengejutkan dunia ketika ini. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *