September 4, 2024
#EKONOMI #UTAMA

Menteri betulkan dakwaan RM51.7 juta geran latihan Gerak Insan Gemilang disalah guna HRD Corp

Kuala Lumpur – Menteri Sumber Manusia, Steven Sim hari ini tampil membetulkan dakwaan RM51.7 juta geran latihan Gerak Insan Gemilang disalah guna oleh berdasarkan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) mengikut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) baru-baru ini.

Sebaliknya kata Sim, dakwaan hanya satu syarikat telah disalurkan dana terbabit adalah tidak benar sebaliknya jumlah itu diberikan kepada 315 syarikat penyedia latihan.

“Kononnya, RM51.69 juta dibelanjakan kepada satu syarikat yang mempunyai 3,726 peserta berulang. Saya ingin betulkan pemahaman segelintir pihak dalam isu. Sebenarnya RM51.69 juta ini melibatkan 315 syarikat penyedia latihan.

“Selain itu, sebanyak 84% peratus daripada 3,726 peserta itu, iaitu lebih kurang 3,132 orang sebenarnya telah mengikuti kursus berulang secara percuma sebanyak dua hingga tiga kali sahaja dalam tempoh setahun.

“Ketiga, terdapat 17 peserta yang menyertai lebih 10 kali dalam tempoh setahun. Bagaimanapun kita sedang mengendalikan isu ini melalui sistem pendigitalan yang mana sistem akan menolak nama-nama berulang selepas ini. Penambahbaikan ini sudah dijalankan,” katanya hari ini.

Untuk makluman, Khamis lepas LKAN mendedahkan penyaluran dana itu menimbulkan kecurigaan, dengan ada peserta mengulang kursus sebanyak 16 kali.

Laporan itu turut menyebut, 234 individu dikatakan peserta menimbulkan kecurigaan kerana menggunakan nama dan nombor pengenalan sama.

Dalam pada itu, Sim juga mendedahkan pihaknya akan melakukan audit bebas terhadap HRD Corp susulan dapatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Jabatan Audit Negara.

Sim berkata, pengaudit profesional akan dilantik pada 31 Julai bagi menyemak semua proses dan dokumentasi. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Malayadailytoday