July 25, 2024
#BERITA #UTAMA

Polis dedah ada percanggahan keterangan saksi dan ibu bapa Zayn Rayyan

KUALA LUMPUR – Polis kini giat melanjutkan siasatan dalam kes kematian kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin selepas adanya percanggahan keterangan daripada saksi dan ibu bapa mangsa ketika ini.

Mendedahkan perkara itu, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pihaknya sedang menjalankan pelbagai usaha dalam lengkapkan kertas siasatan.

“Ada perkara yang perlu disemak semula kerana ada perkara yang tidak selari serta konsisten daripada keterangan saksi dan sebagainya menjurus kepada tangkapan ibu bapa Zayn Rayyan.

“Kita telah selesai soal siasat fasa pertama untuk reman tujuh hari tapi ada perkara yang perlu kita semak semula.

“Ini kerana ada perkara yang masih tidak seiring dengan siasatan, jadi kita sambung reman enam hari untuk lengkapkan kertas siasatan,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, tambah beliau, ketika ini masih terlalu awal pihaknya untuk memaklumkan apa yang akan berlaku termasuk pertuduhan di mahkamah.

“Kita akan berusaha lengkapkan kertas siasatan sebelum rujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya,” ujarnya.

Semalam Mahkamah Majistret Petaling Jaya membenarkan permohonan polis untuk menyambung reman ibu bapa Zayn Rayyan yang meninggal dunia akibat dibunuh di Damansara Damai, Disember tahun lalu.

Perkara tersebut telah disahkan peguam pasangan itu, Fahmi Abd Moin sambil mendedahkan perintah sambung reman itu akan dilanjutkan sehingga Rabu, 12 Jun depan.

Katanya polis memohon tujuh hari namun mahkamah hanya menetapkan enam hari bagi menahan reman pasangan itu. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Malayadailytoday