September 6, 2024
#UTAMA

Tiong King Sing mahu pengundi beri sokongan penuh kepada calon PH di KKB

HULU SELANGOR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing merayu agar pengundi Kuala Kubu Baharu (KKB) memberi peluang kepada calon kerajaan perpaduan, Pang Sock Tao pada Sabtu ini.

King Sing yang juga Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) berkata, pengundi perlu bijak menilai kemampuan calon bertanding di kawasan mereka dengan memastikan ianya mampu membawa kepada pembangunan progresif serta tidak ketinggalan dalam apa jua aspek selepas ini.

“Bagi calon kita sekali lagi peluang untuk dia menjalankan tugas walaupun sudah dekat setahun berlalu (PRN). Andai calon ini tidak bagus, kita tahu apa hendak dilakukan pada pilihan raya yang akan datang.

“Tetapi sebelum anda mengundi, fikir sejenak tentang masa depan kawasan anda. Buat pilihan terbaik,” katanya ketika turun kempen seharian di sekitar KKB sepanjang hari ini.

Sambung beliau andai Sock Tao berkhidmat dengan cemerlang, maka rakyat mempunyai alasan untuk memilih beliau pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Kalau dia memberi perkhidmatan baik, kita terus beri peluang terus berkhidmat untuk Kuala Kubu Baharu, 11 Mei nanti kita nak tengok hasil,” katanya

Dalam pada itu, King Sing juga mendedahkan Kuala Kubu Baharu sebenarnya mempunyai banyak potensi pelancongan dan pihaknya akan kerjasama dengan kerajaan negeri untuk bangunkan kawasan tersebut.

“Kalau mana-mana tempat kita rasa ada peluang pelancongan, kita sedia kemuka kepada kerajaan negeri untuk pertimbang dan kelulusan,” ujarnya. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *