September 6, 2024
#POLITIK

Beri peluang kepada Tiong King Sing reformasi sektor pelancongan negara -Amanah

KUALA LUMPUR – Semua pihak termasuk pemain industri perlu memberi masa dan ruang kepada Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing bagi agenda menaikkan sektor pelancongan negara.

Naib Ketua Amanah, Ammar Atan berkata, baru-baru ini ada segelintir pihak lebih fokus dalam mengkritik isu penurunan pangkat bekas Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berbanding isu-isu berkaitan industri itu.

Kata Ammar, King Sing dan keseluruhan MOTAC hakikatnya sedang menggalas tugas dan amanah penting dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama seperti amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Beri peluang kepada Menteri, Tiong King Sing untuk jalankan tanggungjawab sepenuhnya, beliau dilantik menerajui MOTAC dan sepatutnya kita berikan beliau masa buktikan peranan olehnya.

“Ini termasuklah melantik individu yang mahir, berfikiran progresif untuk memperbaharui industri pelancongan tempatan yang terus dihimpit persaingan daripada negara jiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ammar memberikan contoh destinasi serantau seperti Phuket (Thailand), Bali (Indonesia), Ha Long Bay (Vietnam) dan Boracay (Filipina) yang menjadi pesaing utama Malaysia bagi menarik kemasukan pelancong asing.

Kata Ammar, andai tidak ada sebarang pembaharuan yang ketara dibuat dalam industri pelancongan, ramai pemain industri pelancongan tempatan pada satu masa terdekat terpaksa ‘gulung tikar’.

“Ramai rakyat kita lebih gemar melancong ke luar negara. Sekiranya trend ini berterusan, saya khuatir ramai pemain pelancongan tempatan akan gulung tikar. Apakah gunanya untuk salah sesiapa andai tiada pembaharuan signifikan dilakukan dalam industri pelancongan,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Ammar lagi, beliau sendiri pernah mendapat pelbagai aduan daripada pelancong serta pemain industri mengenai harga bilik hotel dan makanan yang terlalu mahal serta destinasi pantai popular negara juga kurang aktiviti unik yang dirancang oleh agensi pelancongan.

“Ketiadaan penerbangan langsung daripada negara-negara utama perlu diselesaikan dan proses imigresen di pintu utama negara juga harus dipermudahkan. Promosi pelancongan secara secara besar-besaran di luar negara perlu diperhebatkan terutamanya di India, China dan lain-lain.

“Kegagalan menarik pelancong asing mampu memberi tekanan kepada nilai ringgit kerana industri pelancongan menyumbang lebih 14 peratus pada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” ujarnya.

Pemuda Amanah meminta Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs)untuk tidak memanjangkan isu penukaran jawatan bekas Ketua Pengarah Tourism Malaysia ketika ini.

Pada 24 Feb lalu, Cuepacs dalam kenyataanya menuntut penjelasan Tiong King Sing isu notis penamatan yang dikeluarkan pada 22 Februari dan berkuat kuasa pada 26 Februari itu dilihat terlalu singkat.

Presidennya Adnan Mat berkata isu ini boleh menimbulkan pelbagai persoalan di kalangan pihak berkepentingan terutama penggiat industri tempatan. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *