September 3, 2024
#UTAMA

Rafizi mahu berdepan dengan ‘Lim Sian See’ tapi perlu kebenaran Anwar, Zahid

KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang baharu menjalani pembedahan tulang belakang mendedahkan beliau sedia berdepan dengan beberapa individu difahamkan sebagai orang kuat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam program podcast ‘Yang Bakar Menteri’.

Antara yang disebutkan itu termasuklah aktivis terkenal di laman sosial media, Lim Sian See, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi serta bekas ahli MKT, Datuk Isham Jalil.

Bagaimanapun kata Rafizi, beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ini kerana dakwa Rafizi, beliau tidak mahu keruhkan hubungan baik UMNO yang kini dalam kerajaan Madani.

“Oleh itu, saya terbuka untuk mereka hadir bersemuka di YBM selepas saya mendapat maklum balas dari YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim dan YAB Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Saya wajar menghormati pandangan mereka, demi menjaga keutuhan Kerajaan Madani.

“Jika mereka tiada halangan, saya berbesar hati untuk mendedahkan wajah sebenar watak yang mengendalikan kempen propaganda yang mempertahankan 1MDB selama ini, yang berselindung di sebalik nama Lim Sian See.

“Begitu juga dengan Isham Jalil, hatta Puad Zakarshi pun. Saya pun berminat untuk mendengar idea-idea mereka untuk membantu negara mengemudi suasana ekonomi dunia yang mencabar sekarang ini.

“Namun seperti tertib di dalam sesebuah organisasi, saya wajar mendapat maklum balas YAB Perdana Menteri dan YAB Timbalan Perdana Menteri terlebih dahulu. Insya-Allah kita akan tahu menjelang Mac nanti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Malayadailytoday