October 18, 2024
#BERITA

Shahrizat gesa kerajaan bela kanak-kanak terpinggir, terbuang tanpa kewarganegaraan

KUALA LUMPUR – Kanak-kanak terpinggir dan terbuang kerana tiada hak kewarganegaraan kemungkinan besar boleh membawa kepada kemudaratan jika tidak ditangani dengan dengan oleh pihak berwajib.

Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO (HAWA), Tan Sri Shahrizat Jalil tampil memuji dan menyokong usaha kerajaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan ibu-ibu Malaysia dapat memberikan kerakyatan automatik kepada anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara seperti mana yang diperuntukkan kepada bapa-bapa Malaysia.

Namun pada masa sama, beliau mendakwa telah difahamkan beberapa kenyataan dibuat oleh pemegang-pemegang taruh yang telah berbincang dengan Kerajaan bahawa kerajaan berkemungkinan mencadangkan pemansuhan peruntukan Seksyen 1(e) dalam Jadual Kedua, Bahagian II Perlembangaan Persekutuan berkenaan Perkara 14(1)(b).

Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil melahirkan kebimbangan ekoran isu ini berkata, beliau yang pernah bergelumang dengan pelbagai isu kanak-kanak selama puluhan tahun mahu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail melakukan sesuatu.

Kata bekas Menteri Wanita dan Pembangunan itu, Saifuddin boleh memastikan matlamat asal pindaan peruntukan itu dapat mengangkat prinsip keadilan dan ihsan berkenaan kewarganegaraan kanak-kanak ini.

“Jika kumpulan kanak-kanak terpinggir atau terbuang ini tidak dibenarkan hak kewarganegaraan, saya melihat implikasi kemudharatan lebih besar boleh timbul antaranya penafian hak asasi manusia ke atas mereka, yang tidak mencerminkan ihsan.

“Peruntukan ini bukan sahaja memastikan bahawa kumpulan kanak-kanak ini dapat akses kepada hak asasi termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan tempat tinggal tetapi peruntukan ini juga satu bentuk perlindungan kepada kanak-kanak yang tidak bersalah, dan tidak boleh dipersalahkan atas keadaan yang menimpa mereka,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Shahrizat lagi, dengan menghapuskan perlindungan sedia ada terhadap kanak-kanak terpinggir dan terbuang ini hanya akan mewujudkan pelbagai keperluan baharu.

Malah ianya juga akan menggandakan lagi cabaran asas yang dihadapi pihak bertanggungjawab untuk mengurangkan jurang ketidakadilan dalam kelas masyarakat.

“Dalam Islam kita percaya anak dikurniakan Allah SWT sebagai amanah yang wajib dijaga. Apabila ibu bapa tidak dapat menjalankan amanah itu, maka negara ini berkewajipan untuk memikul tanggungjawab terhadap anak itu.

“Untuk makluman juga, kewajipan ini dimeterai dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkenaan Hak Kanak-Kanak, yang mana Malaysia salah satu negara yang telah menandatanganinya.

“Saya mendesak dan meletakkan harapan yang tinggi supaya Menteri Dalam Negeri mengkaji semula cadangan-cadangan pindaan yang telah diutarakan,” tegasnya. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *