October 18, 2024
#UTAMA

Pembangunan semula flat usang tingkatkan kehidupan B40 kepada M40, agenda kerajaan jadi realiti – Jeff Lee

KUALA LUMPUR – Insiden dinding sebuah rumah di Flat Perumahan Awam Loke Yew yang tercabut susulan hujan lebat beserta ribut yang berlaku di sekitar ibu negara baru-baru ini membuatkan pemaju hartanah terkenal, Datuk Seri Jeff B K Lee sayu dan hilang kata-kata.

Malah beliau mendedahkan itu juga antara punca mengapa dirinya sentiasa ‘all out’ bagi memastikan projek pembangunan semula bagi pangsapuri uzur di mamah usia berpuluh tahun bagi memastikan keselesaan golongan rakyat terutamanya di Wilayah Persekutuan.

Kata Jeff Lee yang juga pengasas dan Pengerusi Eksekutif syarikat hartanah terkenal JL 99 Group , beliau banyak terlibat dengan pelbagai projek pembangunan semula flat-flat usang di sini selepas melihat keadaan kediaman penduduk bukan sahaja uzur, kotor sebaliknya ketiadaan juga kemudahan terutamanya untuk golongan warga emas.

“Saya pernah melaksanakan projek pembangunan semula di Razak Mansion yang satu ketika dulu nampak seperti setinggan bandar dan begitu uzur. Projek itu memberikan kelegaan dan kepuasan para penduduk yang duduk dalam rumah sempit, persekitaran kotor serta tiada kemudahan yang baik.

“Sebelum saya melaksanakan mana-mana projek pembangunan semula, saya dan pasukan saya akan berinteraksi dengan penduduk di situ, kita cuba fahami dulu apakah yang dikehendaki oleh mereka, apakah masalah dan isu-isu menghantui mereka.

“Ingat ya, kita buat projek seperti ini bukan kerana mahu untung sahaja sebaliknya untuk bantu golongan miskin dan tidak terdaya memiliki sebuah rumah yang lebih baik, berapa lama lagi hendak duduk di flat-flat usang? Saya ingat lagi masa penduduk warga emas datang peluk saya masa serahan kunci di Razak Mansion.

“Cabaran untuk melaksanakan projek-projek pembangunan ini sangat besar namun ianya mungkin akan menjadi lebih mudah seandainya kita mempunyai sokongan kerajaan. Kelulusan cepat, syarat juga tidak begitu ketat dan boleh berbincang.

“Selalunya kita boleh ambil masa sehingga dua tahun untuk siapkan projek dan biar penduduk masuk mendiami sebuah flat yang diubah suai menjadi ‘kondominium’, kalau dulu mereka beli dengan harga puluh kini sudah seperti ‘durian runtuh’ lepas bangun semula,” katanya selepas hadir sebagai panel dalam Forum Pembangunan Semula Kampong Bharu di sini.

Jeff Lee berkongsi pandangan dan cabaran yang dihadapinya sebagai pemaju yang terlibat dalam projek pembangunan semula dalam forum itu yang bertajuk ‘Perkongsian Pengalaman: Amalan Perancangan Terbaik.

Dalam pada itu kata Jeff Lee, koordinasi dan kerjasama dengan kerajaan sememangnya akan memudahkan golongan pemaju sepertinya untuk terus melaksanakan kerja-kerja pembangunan semula dengan lebih senang.

“Adakah saya sanggup untuk lihat flat-flat usang ini terus berada dalam keadaan seperti ini dalam tempoh 10, 20 tahun akan datang? Saya tidak sanggup langsung. Kerana itu juga saya terus melakukan pembangunan semula ini.

“Pada saya, sokongan kerajaan memang penting, kerajaan perlu tengok sendiri dan pantau keadaan flat-flat usang, baru-baru ini kita sendiri tengok bagaimana dindin tercabut ketika ribut, betapa usang dan uzur keadaan itu malah membahayakan nyawa.

“Kalau kita bagi golongan ini rumah lebih besar, selesa dan selamat bukankah itu sangat baik? Ketika ini saya sedang dalam proses melaksanakan projek pembangunan semula, satu di flat Desa Bakti, flat Seri Indah dan satu lagi di Maluri, Cheras.

Projek pembangunan semula flat Desa Bakti

“Kita sudah dapat kelulusan penduduk setempat, mungkin ada satu dua bantahan namun kes-kes minoriti sahaja. Kita sangat berharap kerajaan dapat bantu koordinasikan pelaksanaan projek-projek seperti ini yang memberi manfaat besar kepada rakyat.

“Kerajaan juga perlu mainkan peranan dengan memilih pemaju-pemaju yang mempunyai rekod prestasi yang cemerlang bagi memastikan agenda kerajaan membantu rakyat terus menjadi realiti,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas hadir sebagai panel dalam program ‘Pembangunan Semula Kampong Bharu’ di sini.

Jelas Jeff Lee lagi, apabila sesebuah projek pembangunan semula itu dilaksanakan harga rumah-rumah itu juga akan naik sekaligus menaikkan taraf kehidupan serta sosio ekonomi golongan B40 kepada M40.

“Saya beri contoh yang begitu dekat di hati saya, projek Razak Mansion, jika harga asalnya sekitar RM150,000 selepas kita lakukan pembangunan semula harganya sudah melonjak antara RM300,000 hingga RM350,000 atau lebih lagi.

“Bukankah ini sekaligus menguntungkan pemilik rumah tersebut? Pada saya, inilah sebenarnya kepuasan buat saya sebagai pemaju yang turut berperanan meningkatkan taraf hidup serta kualiti rakyat kita.

“Ini juga peranan murni dimainkan oleh para pemaju dalam memajukan agenda kerajaan untuk memastikan taraf kehidupan rakyat jelata ini dari B40 naik sehingga M40 melalui pemilikan hartanah terutamanya di sekitar Wilayah Persekutuan ini,” ujarnya. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *