KUALA LUMPUR – Malaysia sentiasa menjadi destinasi utama bagi golongan artis terkenal tidak kira barat mahupun Asia untuk mengadakan konsert dan persembahan mereka bagi menghiburkan ribuan atau jutaan peminat di negara ini.
Terbaru, pemuzik terkenal India, Shankar Mahadevan yang sangat terkenal di seluruh dunia tiba ke ibu negara bagi konsert ‘Music Fest with Shankar Mahadevan’ di Mega Star Arena Kuala Lumpur Sabtu ini.
Konsert yang dianjurkan oleh syarikat pengurusan acara terkenal, My Events International juga difahamkan akan dibarisi pelbagai artis terkenal lain yang akan beraksi di pentas Mega Star Arena di sini kelak.
Shankar Mahadevan, 56, yang memulakan karier sebagai penyanyi kemudian bergelar komposer muzik mula berjinak dengan dunia muzik sejak awal tahun 90-an lagi dan sudah menyanyi dan menggubah lagu untuk lebih ratusan filem Tollywood, Mollywood, Bollywood serta banyak lagi.
Beliau yang tiba di Malaysia petang semalam kelihatan begitu teruja untuk bertemu para peminatnya dengan anggaran hadirin yang hadiran sekitar lebih 4,500 orang nanti.
Beliau yang dilihat merakamkan rasa teruja dalam laman rasmi My Events International terus melahirkan rasa gembira untuk berada di sini selain berteka-teki untuk kejutan-kejutan manis pada konsert sulungnya itu.
“Saya sangat teruja, saya harap anda semua juga. Malaysia sebuah negara yang begitu berwarna warni, hebat dari segi keharmonian, peminat muzik terutamanya dalam industri India sangatlah luar biasa dan hebat,” katanya. -MalayaDailyToday
Discussion about this post