MELAKA – Sebanyak 189 borang penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 telah dibeli bakal calon setakat malam tadi, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun.
Media melaporkan Ramlan berkata, 45 bakal calon sudah membuat pembayaran deposit bagi mengesahkan kesediaan bertanding menjelang hari penamaan calon esok.
Menurut beliau, sebanyak 28 pusat penamaan calon di seluruh negeri akan dibuka serentak dari pukul 9 pagi hingga 10 pagi bagi memulakan proses penyerahan borang pencalonan rasmi.
“Bagi kelancaran proses, SPR menyeru semua bakal calon supaya hadir lebih awal bagi membolehkan petugas menyemak dokumen dengan teliti sekali gus mengelakkan sebarang masalah yang boleh menjejaskan penyertaan mereka dalam pilihan raya berkenaan.
“Kita tidak mahu ada masalah yang mungkin menyebabkan seseorang itu tidak dapat bertanding atau sebagainya. Kita cuba elakkan,” katanya.
Ramlan memaklumkan semua pegawai pengurus pilihan raya (RO), penolong pegawai pengurus serta pegawai terlibat di 28 pusat penamaan calon telah diberikan latihan mencukupi bagi melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Katanya, persiapan bagi kesemua 28 pusat penamaan calon juga berjalan lancar dan pihaknya yakin semua lokasi berkenaan bersedia menerima bakal calon yang akan mengemukakan borang penamaan esok.
Ramlan turut menasihati penyokong parti-parti bertanding yang hadir esok supaya mematuhi arahan pihak berkuasa dan peraturan ditetapkan bagi memastikan proses penamaan calon berlangsung dalam suasana aman dan tertib.
Katanya, semua pihak perlu memberikan kerjasama kepada petugas keselamatan serta mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelak sebarang gangguan terhadap kelancaran proses berkenaan.
Orang ramai juga dinasihatkan mengambil maklum kemungkinan penutupan atau perubahan laluan jalan raya di sekitar pusat penamaan calon bagi melancarkan pergerakan kenderaan dan mengelakkan kesesakan.
Dalam pada itu, Ramlan berkata berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), keadaan cuaca esok dijangka baik dan berharap proses penamaan calon dapat berlangsung tanpa sebarang gangguan.
SPR menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala penamaan calon pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November.-MalayaDailyToday


















































