KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan dua individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes khalwat melibatkan seorang figura awam di sekitar daerah Petaling pada petang semalam.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad menerusi kenyataan memaklumkan tangkapan berkenaan dilakukan sekitar pukul 6 petang.
Menurut Mohd Shahzihan, dua individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kesalahan yang disyaki dilakukan di bawah Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Kata beliau, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, katanya, JAIS menasihatkan umat Islam supaya tidak mengaibkan mana-mana individu dengan menjadikan kes berkenaan sebagai bahan spekulasi, perdebatan atau fitnah dalam apa jua cara.-MalayaDailyToday






















































