KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mewajibkan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah yang terlibat dalam kemalangan, untuk membayar pampasan kepada mangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak 28 kes kematian akibat kemalangan membabitkan pemandu mabuk atau di bawah pengaruh dadah direkodkan setakat Ogos tahun ini.
Beliau berkata, langkah itu diambil susulan tragedi kemalangan jalan raya yang terus meragut nyawa, termasuk nahas di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), Temerloh, pada malam Hari Kebangsaan lalu yang mengorbankan empat individu, termasuk pasangan suami isteri dan anak kecil mereka.
“Tragedi seumpama ini menyentak sanubari kita walaupun penguatkuasaan telah diperketat, namun pelanggaran peraturan masih lagi membimbangkan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan juga akan mewajibkan pemasangan sistem telamatik pada kenderaan perdagangan bagi memantau kelajuan, lokasi dan corak pemanduan berisiko.
Kata beliau, sistem berkenaan akan turut dihubungkan dengan alat pengesan alcohol bagi memastikan pemandu tidak berada di Bawah pengaruh alkohol sebelum memulakan perjalanan.
“Pelaksanaan secara sukarela dibuat hingga 2027, sementara kerajaan sedang membangunkan pangkalan data pemandu untuk penguatkuasaan,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan menyediakan baucar pemeriksaan kesihatan kepada pemandu kenderaan perdagangan bagi mengesan risiko kesihatan yang boleh menjejaskan keupayaan memandu.-MalayaDailyToday























































