KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada jam 3.30 petang ini dengan fokus memperkasakan taraf kehidupan rakyat dan memastikan kemajuan ekonomi negara dinikmati secara saksama.
Belanjawan MADANI kelima itu dibentangkan berteraskan aspirasi “menggapai di langit serta mengakar di bumi” bagi memastikan kesejahteraan masyarakat terbela di samping memacu pertumbuhan ekonomi negara.
“Belanjawan MADANI kelima ini meneruskan tekad untuk memastikan kemajuan negara dirasai setiap rakyat, agar taraf kehidupan terus ditingkatkan, nasib mereka terbela dan setiap daripada kita dapat hidup secara bermaruah,” kata Anwar menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.
Pembentangan belanjawan berkenaan bakal disiarkan secara langsung menerusi pelbagai saluran televisyen dan platform digital utama tempatan mulai petang ini.
Belanjawan 2027 dijangka memberikan tumpuan kepada pemerkasaan sosioekonomi, pengurusan kos sara hidup, serta pengukuhan fiskal negara secara berterusan di bawah kerangka Ekonomi MADANI. -MalayaDailyToday





















































