KUALA PILAH – Seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua mengalami kecederaan selepas dipercayai dipukul pelajar senior di sebuah asrama sekolah menengah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Dalam kejadian berlaku pada 27 September lalu, kira-kira pukul 11.40 malam, mangsa dipanggil ke bilik asrama oleh pelajar senior berusia 16 tahun susulan perselisihan faham antara mereka.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Muhammad Mustafah Hussin berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dipukul oleh suspek semasa berada di dalam bilik berkenaan.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan.
“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) bagi mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Muhammad Mustafah, hasil pemeriksaan doktor mendapati pelajar terbabit mengalami kecederaan tisu lembut atau soft tissue injury.
Jelas beliau, polis telah mengenal pasti suspek untuk siasatan lanjut.
Tambah Muhammad Mustafah, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan serta menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan.-MalayaDailyToday




















































