KUALA LUMPUR – Dua anggota Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) didakwa dikasari dan diaibkan oleh Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain ketika sedang menjalankan tugas rasmi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Peguam yang mewakili kedua-dua anggota berkenaan, Kamal Hisham Jaafar mendakwa insiden di tempat awam itu bukan sahaja menyebabkan kecederaan fizikal kepada anak guamnya, malah melibatkan unsur buli kuasa terhadap penjawat awam berpangkat rendah.
“AKPS bukan sebahagian daripada PDRM dan kedua-dua agensi mempunyai fungsi serta bidang kuasa yang berbeza. Hak serta kedudukan anggota berpangkat rendah yang sedang bertugas mesti dilindungi,” menurutnya dalam kenyataan itu.
Beliau turut menafikan keras dakwaan bahawa kedua-dua anak guamnya bertindak sebagai ‘ulat’ atau terlibat dalam aktiviti counter setting, sambil menyifatkan naratif sedemikian sengaja ditimbulkan bagi mengalih perhatian daripada isu utama keganasan fizikal.
Sehubungan itu, pihak pembelaan menggesa siasatan segera dan telus dijalankan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan bagi kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan.
Kamal Hisham turut memberi amaran bahawa kegagalan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai kanan yang melakukan kekerasan akan menghantar mesej yang salah kepada masyarakat seolah-olah tindakan buli fizikal boleh diterima jika dilakukan oleh individu berjawatan tinggi. -MalayaDailyToday




















































